Majistret Chyfica Mohamed Zambri membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin.

Lelaki berusia 44 tahun bergelar Datuk itu sebelum ini direman enam hari bermula Selasa lalu bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 49 Akta SPRM 2009.

Suspek ditahan pada Isnin lalu selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa bekas pemimpin tertinggi negara terlibat dalam menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini sudah menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan. – UTUSAN ONLINE