Semuanya kelihatan sempurna buat pasukan negara apabila mendahului 2-0 menerusi Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Rashid pada minit ke-64, sebelum pemain UAE memulakan provokasi dengan melakukan asakan keras terhadap pemain negara.

Kemuncak pergaduhan tersebut apabila pemain gantian UAE, Mohammad Khalfab Eto memijak pemain negara sebelum bergaduh dengan Irfan Zakaria dan Syazwan Zaipol.

Di hujung permainan, pemain UAE, Mohamed Khalfan Al Harasi dilihat menendang pemain Malaysia, sebelum pemain kedua-dua pasukan kemudian berbalas tumbukan serta tendangan.

Memburukkan lagi keadaan, pegawai pasukan UAE juga terlibat dalam kekecohan itu, malah pemain lawan bertindak memba­ling kerusi kepada pemain negara dan insiden tersebut berlarutan selama dua minit sebelum dile­raikan oleh pasukan keselamatan.

“Saya sudah banyak kali berjumpa dengan pasukan dari Asia Timur dan mereka sebenarnya sukar untuk menerima kekalahan dan apabila kalah mereka akan melakukan provokasi.

“Sebelum ini mereka tidak pernah kalah bertemu Malaysia namun apabila kalah kepada kita mereka sukar mene­rimanya.

“Insiden ini dimulakan oleh pemain lawan. Pemain saya tidak melakukan provokasi. Kalau kami yang mulakannya pergaduhan ini saya sendiri boleh mengakui.

“Saya biarkan perkara ini kepada pihak pengurusan untuk menguruskannya,” kata Ketua Jurulatih Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee.

Aksi Malaysia-UAE sepatutnya digunakan untuk pemanas badan buat kedua-dua pasukan bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Bola sepak memulakan kempen hari ini, namun Malaysia yang diletak dalam Kumpulan E hanya turun ke padang pada 15 Ogos menentang Kyrgyzstan, manakala UAE akan bertemu Timor Leste pada 16 Ogos.