Ini merupakan wabak keempat  di negeri ini pada tahun ini dan kes terbaharu ini melibatkan pekerja  dari Bangladesh berusia antara 22 hingga 49 tahun dengan dua daripada mereka dimasukkan ke wad  Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini manakala tujuh orang lagi menerima rawatan pesakit luar.

Jabatan Kesihatan negeri dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan aktiviti pemeriksaan dan kawalan bagi mengekang penularan dan peningkatan kes di tapak binaan itu di samping  tapak binaan MBKT dan Mayang Mall yang terletak berhampiran.

Dua daripada tapak binaan (jambatan angkat dan MBKT) yang menampung lebih 300 pekerja itu  dikesan  positif pembiakan aedes ekoran keadaan kebersihan persekitaran rumah kongsi dan tapak binaan kurang memuaskan dengan penemuan bekas bekas pembiakan.

“Justeru beberapa langkah kawalan, pencegahan dan pengurusan kes dilakukan termasuk penguatkuasaan undang undang di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan penutupan tapak binaan jambatan dan tapak bangunan MBKT,” ujar kenyataan itu. 

Sehingga Jun lalu, sejumlah 102 kes denggi dikesan di negeri ini, menurun sebanyak 62 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu tanpa sebarang kes kematian.

“Daerah yang mempunyai bilangan kes denggi tertinggi ialah Kuala Terengganu dengan 34 kes diikuti  Besut (27 kes), Kemaman (15 kes), Marang (11 kes), Kuala Nerus (5 kes), Setiu (4 kes), Dungun (3 kes) dan Hulu Terengganu (3 kes), “jelas jabatan itu.

Secara keseluruhannya, jabatan tersebut telah memeriksa 92,089 premis di seluruh negeri, dan daripada jumlah itu, 1,062 premis dikesan positif pembiakan nyamuk aedes. 

Sebanyak 601 pemilik premis dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000 dengan nilai kompaun RM 69,000. – UTUSAN ONLINE