Bakal beraksi dalam acara changquan, Wai Kin dilihat sebagai prospek terbaik Malaysia untuk menghadirkan pingat bersama Wong Weng Son kerana reputasinya selaku juara dunia.

Sebaik sahaja menjejak kaki ke Perkampungan Atlet Sukan Asia 2018 di Kemayoran, Wai Kin, yang tiba bersama skuad wusyu dan taekwondo hari ini sudah merasai bahang temasya, biarpun acaranya hanya berlangsung lima hari lagi.

“Apa yang saya fikirkan ketika ini adalah untuk melakukan yang terbaik buat negara.

“Ini kali pertama saya bertanding di Indonesia dan saya tidak fikir akan ada provokasi daripada penyokong tuan rumah, namun jika itu berlaku saya tetap beraksi seperti biasa.

“Persiapan saya untuk Sukan Asia berjalan baik dan keyakinan saya di tahap tertinggi. Saya percaya mampu melakukan tugas sebaik mungkin, Ahad ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Acara changquan lelaki dijadual berlangsung di Expo Antarabangsa Jakarta pada pukul 9 pagi waktu tempatan, Ahad ini.

Itu sekali gus menjadikan ia saingan akhir paling awal bermula berbanding enam sukan lain yang turut dilangsungkan pada hari sama.

Sama ada Wai Kin atau Weng Son, sesiapa sahaja yang meraih pingat akan menjadi pemenang pertama Malaysia dalam edisi ke-18 temasya.

Sementara itu, jurulatih wusyu kebangsaan, Lim Yew Fai percaya, semua tujuh atlet negara yang dihantar dalam Sukan Asia kali ini sudah dipersiapkan dengan baik dan mampu meraih kecemerlangan.

“Kami sedar wusyu menjadi tumpuan utama kerana bakal menjadi sukan paling awal yang akan menyumbangkan pingat buat kontinjen negara.

“Gandingan atlet terbaik kami iaitu Wong Weng Son dan Yap Wai Kin pasti tidak akan mengecewakan,” kata Yew Fai.

Wusyu antara sukan yang sering menjadi penyumbang emas buat Malaysia dalam Sukan Asia, termasuk di Incheon, empat tahun lalu.

Begitupun, kemenangan Tai Cheau Xuen (nanquan dan nandao wanita) ketika itu ditarik balik akibat positif doping.