KUALA SELANGOR – Pemuliharaan kawasan lereng bukit di Bukit Melawati menjadi keutamaan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana ia merupakan ikon pelancongan bertaraf antarabangsa.

Setiausaha MDKS, Azman Dahlan menjelaskan, pihaknya mengambil pendekatan memohon untuk mewartakan kawasan pelancongan dan mendapatkan hak menyelenggara kawasan itu sebagai sebahagian tanah kerajaan.

Sebelum ini katanya, kawasan pelancongan khususnya di Bukit Melawati ini diselenggara dan dipelihara pelbagai agensi berkaitan termasuk MDKS. Namun berlaku beberapa kekangan dalam pengurusan membabitkan isu penyelenggaraan.

“MDKS melaksanakan kerja penyelenggaraan kawasan tumpuan pelancong tetapi untuk pemeliharaan kawasan kaki bukit tidak termasuk dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebab itu, kami cuba untuk memohon untuk memasukkan keseluruhan kawasan bukit ini untuk penyelenggaraan di bawah MDKS supaya isu runtuhan batu dapat diselesaikan melalui peruntukan sedia ada,†katanya.

Timbul rungutan

Mengulas lanjut, Azman berkata, kekangan penyelenggaraan ini menyebabkan timbul rungutan dalam kalangan pengunjung yang mendakwa tiada sebarang kerja penambahbaikan dibuat di Batu Hampar, Tangga 1000 dan Bukit Belanda apabila berlaku kerosakan.

“Bagaimanapun seperti yang dimaklumkan, kawasan itu luar bidang kuasa MDKS.

“Jika kawasan bersejarah di lereng bukit dapat dimasukkan dalam penyelenggaraan MDKS, Insya-ALLAH kerja pemuliharaan dapat dilaksanakan,†katanya.

Mengulas lanjut mengenai aduan pencemaran sungai disebabkan pengendali pelancongan swasta ke kawasan habitat kelip-kelip, Azman menegaskan, Kelip-Kelip Kampung Kuantan tidak terjejas.

Fenomena Salar De Uyuni jadi keunikan di Sky Mirror, Kuala Selangor.

“Untuk makluman, Pusat Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan masih menggunakan khidmat pendayung untuk membawa pelancong ke kawasan pokok berembang di tepi sungai.

“Bagi dakwaan kononnya wujud pengendali bot berenjin di kawasan kelip-kelip ini adalah perkara yang tidak benar. Ini kerana MDKS cukup menekankan pemeliharaan kawasan ini termasuk memastikan penggunaan sampan tanpa enjin.

“Mungkin bot-bot ini digunakan oleh pelancong untuk ke Sky Mirror memandangkan sekarang ini cukup banyak persaingan,†katanya.

Usahasama Tourism Selangor

Menurut Azman lagi, pihaknya turut menjalinkan hubungan strategik bersama Tourism Selangor bagi mempromosikan lokasi pelancongan terbaharu di daerah ini iaitu Sky Mirror Kuala Selangor.

“Sky Mirror kini menjadi tumpuan pelancong asing khususnya Korea dan China itu sekali gus menambah produk pelancongan Kuala Selangor selain Bukit Melawati, Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan Taman Alam.

“MDKS mahu produk pelancongan daerah ini bertaraf kelas dunia dan berusaha untuk menambah baik sekali gus mempromosikannya melalui media cetak, elektronik dan digital,†katanya.

MDKS juga menyediakan jeti khas untuk membawa pelancong melalui pengendali bot berlesen dengan jarak perjalanan 40 minit untuk tiba kawasan tebing pasir di tengah laut.

“Keunikan beting pasir ini disebabkan fenomena Salar De Uyuni iaitu pantulan imej seakan-akan cermin sepertimana di negara Bolivia dan Kuala Selangor bertuah kerana memilikinya,†katanya.

Mengulas mengenai lambakan pengendali bot tidak berlesen untuk ke Sky Mirror, Azman menjelaskan, pihaknya tiada kuasa untuk menghalang perkara itu.

Bagaimanapun, mereka menasihatkan pelancong tempatan dan luar supaya mendapatkan khidmat pengendali bot yang berlesen dan lengkap pakej keselamatan.

“Faktor keselamatan perlu jadi keutamaan kerana kawasan ini terletak di tengah laut dan hanya pengendali yang berpengalaman boleh membantu pelancong ke kawasan selamat,†katanya.