Bekas pemain No. 5 dunia tersebut yang terpaksa memulakan aksinya di peringkat kelayakan menewaskan pemain No. 33 dunia itu dalam permainan empat set 10-12, 11-6, 11-6, 11-2.

Kemenangan tersebut menemukan Wee Wern yang kini jatuh ke ranking 254 dunia dengan rakan senegara, S. Sivasangari pada separuh akhir yang sekali gus mengulangi aksi final kejohanan skuasy kebangsaan, minggu lepas yang berpihak kepada pemain remaja itu.

Sivasangari yang turun selaku pilihan ketiga tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan seorang lagi wakil Hong Kong, Lee Ka Yi menerusi kemenangan straight set 11-6, 11-5, 11-6.

“Saya akan bertemu Sivasa­ngari sekali lagi, tapi saya tak bermain selama 20 bulan, jadi, saya masih lagi jauh untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik saya. Namun, persembahan saya ada menunjukkan perubahan.

“Saya yakin lama-kelamaan saya akan dapat kembali kepada prestasi sebenar. Secara fizikal, lutut saya setakat ini tidak memberikan sebarang masalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan.

Pertembungan antara Wee Wern dan pemain No. 40 dunia, Sivasangari, bakal menyaksikan salah satu slot dalam perlawanan akhir telah terjamin menjadi milik wakil negara yang akan menentang sama ada pilihan pertama, Omneya Abdel Kawy dari Mesir ataupun pemain Jepun, Satomi Watanabe.

Pada suku akhir, Omneya me­ngalahkan pilihan ketujuh, Ho Tze Lok dari Hong Kong 11-9, 12-10, 11-7, manakala pilihan keempat, Watanabe menewaskan wa­kil Afrika Selatan, Alexandra Fuller 11-3, 11-4, 11-8.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, dua wakil Malaysia, Nafiiz­wan Adnan dan Ng Eain Yow terkandas di suku akhir. Nafiizwan tewas di tangan pilihan pertama, Leo Au juga dari Hong Kong 3-11, 10-13, 11-4, 8-11, sementara Eain Yow akur kepada ketangkasan pemain Perancis, Lucas Serme 4-11, 7-11, 11-8, 10-12.