Jurulatih berusia 46 tahun itu buat masa ini tidak menggalas sebarang tanggungjawab apabila meletak jawatan sebagai pe­ngurus Real Madrid, Mei lalu, hanya lima hari selepas membawa kelab tersebut menjuarai Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.

Zidane turut menjulang gelaran La Liga bersama Real pada 2017, dua trofi Piala Dunia Kelab sepanjang dua tahun sete­ngah menjadi pengurus pasukan utama di Santiago Bernabeu.

Menurut L’Equipe, Zidane bersedia mempertimbangkan peranannya selepas ini dan telah menghalakan sasaran ke Liga Perdana.

Laporan itu mendakwa, pemenang Piala Dunia tersebut begitu berminat menguruskan United.

Mourinho kini tertekan untuk menghadirkan kejayaan buat United selepas gagal memenangi sebarang trofi di Old Trafford, musim lepas.

Meskipun menamatkan sai­ngan dengan jurang 19 mata di belakang Manchester City, Mourinho tetap berkeras bahawa kedudukan kedua yang dicatat skuad bimbingannya dalam Liga Perdana musim lalu, boleh dianggap antara pencapaian terbesarnya.

Mourinho pula berdepan krisis dengan kepimpinan tertinggi United pada musim panas ini, terutama keengganan kelab menandatangani bek tengah berpengalaman sebelum jendela perpindahan ditutup, Khamis lalu.

Pemain Tottenham, Toby Alderweireld dan Jerome Boateng dari Ba­yern Munich menjadi buruan Mourinho, tetapi Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward enggan memeterai perjanjian dengan kedua-dua pemain ber­kenaan.

Mourinho memberi amaran kepada lembaga Uni­ted bahawa kelab itu bakal berdepan kesukaran musim ini jika skuad sedia ada gagal diperkuatkan.

Jurulatih dari Portugal tersebut turut tidak bersetuju dengan Woodward tentang masa depan Anthony Martial, apabila pengurus United itu gembira jika penyerang Perancis tersebut dijual.

Bulan lalu, terdapat laporan media yang mendakwa bahawa United telah menyenarai pendek Zidane sebagai calon bagi menggantikan Mourinho jika pengurus berusia 55 tahun itu meninggalkan pasukan pada penghujung musim ini. – AGENSI